Tiga sekeluarga nyaris maut apabila keretanya dirempuh oleh X70 semasa menjual lemang di tepi jalan Mukim Kalumpang di Hulu Selangor semalam.Ihsan IPD hulu Selangor

KUALA LUMPUR – Tiga beranak sekeluarga nyaris maut apabila kereta mereka dirempuh secara tiba-tiba oleh sebuah kereta Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) semasa sedang berniaga juadah Raya Aidilfitri di tepi jalan semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga beranak itu terselamat daripada sebarang kecelakaan dan sekadar mengalami kecederaan ringan

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian itu berlaku di Kalumpang Hulu Selangor sekitar jam lebih kurang 11.30 malam tadi.

Katanya, semasa kejadian tiga sekeluarga iaitu terdiri daripada pasangan suami isteri dan anak lelakinya sedang berniaga lemang di tepi jalan hadapan Stesen Minyak Five, Kalumpang.

“Siasatan polis mendapati, pemandu Proton X70 seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun sedang meneruskan perjalanan dari Kalumpang ke arah Kuala Kubu Bahru.

“Apabila tiba di lokasi, kereta Proton X70 telah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang diletakkan berhampiran gerai menjual lemang dan sebatang tiang kanopi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, pemandu Proton X70 terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta Perodua Kelisa iaitu seorang perempuan tempatan berusia 40 tahun mengalami luka di dagu dan bengkak di betis manakala anak lelakinya berusia tiga tahun yang duduk di belakang tidak cedera.

“Siasatan polis mendapati kereta Kelisa itu merupakan milik penjual lemang manakala anak dan isterinya duduk di dalam kereta Kelisa sementara suaminya sedang menjual lemang semasa kejadian berlaku.

“Pemandu kereta X70 tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen Rule 10 LN 166/59,”ujarnya. – MalaysiaGazette