KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) akan memulangkan tambang penuh kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang tidak meneruskan perjalanan selepas terkandas empat jam pada malam raya.
KTMB berkata, pihaknya akan menghubungi penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium bagi tujuan tuntutan insuran yang melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth, Pulau Pinang.
“Kesulitan ini amat kami kesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Para penumpang yang terkesan diminta untuk menghantar permohonan ke emel [email protected].
“Bagi penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium, agen Khidmat Pelanggan kami akan menghubungi penumpang selewat-lewatnya Jumaat 12 April ini.
“Jika tidak penumpang boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau e-mel kepada [email protected],” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, selepas menerima dokumen tuntutan yang lengkap pihak takaful akan memproses tuntutan dan membuat bayaran dalam masa yang ditetapkan.
Tambahnya, KTMB masih menjalankan sisasatan bagi mengenalpasti punca kejadian yang menyebabkan ETS terhenti sebelum Stesen Parit Buntar pada pukul 5.13 petang.
KTMB melalui kenyataan rasmi sebelum ini menjelaskan gangguan disebabkan oleh talian elektrik yang terputus luar jangka dan membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.
Kru tren bertugas telah mengambil langkah untuk membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku.
KTMB juga turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman.
Lokomotif bantuan telah dihantar namun gagal untuk menyelamatkan tren ETS yang terkandas dan pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan.
Media sebelum ini melaporkan, suasana malam raya buat penumpang ETS bertukar suram apabila tersangkut lebih empat jam gara-gara tren yang mereka naiki mengalami gangguan perjalanan.
“Panas dan lapar. Nak solat dan pergi tandas, tiada air. Nak caj telefon bimbit tiada elektrik pula. Pukul 7.50 malam baru lampu dibuka semula.
“Kesian kanak-kanak dan warga emas. Masing-masing dah tak tahu nak buat apa dalam gerabak,” adu seorang penumpang dalam perkongsian media sosial.- MalaysiaGazette