KUALA LUMPUR – Lelaki warga Israel yang ditahan memiliki enam pistol dan 200 peluru hidup di sebuah hotel di Jalan Ampang, ibu negara 27 Mac yang lalu akan diheret ke Mahkamah di Jalan Duta esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu berkata
“Suspek utama itu yang kini berada dalam tahanan reman akan dibawa ke mahkamah di KL pada pagi esok untuk menghadapi pertuduhan.
“Sementara itu, suspek-suspek lain yang masih dalam tahanan polis pula akan disambung reman bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Razarudin, suspek utama akan didakwa di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu kesalahan memiliki senjata api, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Pada 8 April lalu, pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun telah didakwa di Mahkamah Klang atas kesalahan memiliki pistol 9mm CZ 75.
Pasangan itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Senjata Api 1971.
Tiada jaminan ditawarkan kepada pasangan tersebut oleh mahkamah.
Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Hasil siasatan awal oleh pasukan siasatan terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport warga Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.
Susulan soal siasat ke atas lelaki itu, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di daerah Kuala Selangor, pada 29 Mac lalu selepas disyaki menjual enam senjata api kepadanya yang dibeli di Thailand dengan menggunakan maya wang kripto dengan nilai RM10,000 setiap pucuk.
Polis turut merampas sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit hasil pemeriksaan di kediaman pasangan itu.
Pasukan khas polis yang mengendalikan kes ini terdiri dari JSJ Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kemudian menahan 12 lagi individu dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.-MalaysiaGazette