MELAKA – Kes kematian remaja yang merempuh kenderaan polis di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini awal pagi semalam dijalankan tanpa unsur berat sebelah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota dan pegawai sekiranya didapati menjadi punca nahas.
Dalam kemalangan pada pukul 2.56 pagi semalam mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.37 pagi tadi selepas lebih 21 jam dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan di pihak kita, Polis Diraja Malaysia tlidak akan berkompromi ke atas anggota dan pegawai terlibat.
“Tindakan tegas akan diambil dan tiada unsur berat sebelah dalam siasatan ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, timbalannya, Deputi Superintendan Azrul Mohamed dan beberapa pegawai juga telah bertemu dengan ibu, ayah dan abang mangsa di Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk menyampaikan ucapan takziah.
“Hasil pertimbangan dan budi bicara, kita menawarkan untuk mengiringi jenazah Mohammad Khairul ke tanah perkuburan Islam di Durian Tunggal bagi pengebumian.
“Segala kos memandikan serta mengkafankan jenazah ditanggung oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah,” katanya.
Hari ini MalaysiaGazette melaporkan
Mohammad Khairul maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah pacuan empat roda polis yang melakukan rondaan mencegah lumba haram dalam kejadian awal pagi 1 Syawal semalam.
Mangsa tercampak setinggi beberapa meter sebelum terjatuh berdasarkan beberapa rakaman klip video yang tular sejak semalam.
Berdasarkan rakaman, insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap anggota polis berkenaan kerana didakwa sengaja merempuh mangsa yang ketika itu berada di jalan utama.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pukul 12.37 pagi tadi ketika menerima rawatan di ICU Hospital Melaka akibat kecederaan dalaman yang serius selain patah kaki dan paha.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000. – MalaysiaGazette