HATYAI (THAILAND) – Meskipun ringgit menyusut namun masih ramai rakyat Malaysia memilih Thailand sebagai lokasi membeli busana hari Raya Aidilfitri selain mengambil peluang merasai suasana Ramadan baru-baru ini.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati ramai rakyat Malaysia merentasi sempadan seawal 8 pagi untuk ke negara Gajah Putih itu.

Seorang suri rumah, Norleza Desa, 56, berkata, lebih 21 tahun dia melakukan rutin membeli baju raya buat mereka lima sekeluarga.

Jelasnya, banyak pilihan dan harga berpatutan menjadi faktor keluarganya memilih untuk membeli belah di Thailand.

Norleza.

“Sejak kecil keluarga saya sudah biasa rentas sempadan dan ‘tradisi’ itu diteruskan apabila berumahtangga serta bergelar ibu kepada tiga orang anak berusia 16 hingga 24 tahun.

“Bukan bulan Ramadan saja kami dari Bagan Serai, Perak datang ke sini (Hatyai) untuk membeli belah namun dalam tempoh setahun, boleh dikatakan lima atau enam kali saya serta keluarga ke sini untuk menikmati makanan serta membeli pakaian.

“Kejatuhan mata wang ringgit memang memberi kesan bagi perbelanjaan namun kami masih boleh membeli baju pada kadar berpatutan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Asean Market, Hatyai baru-baru ini.

Rakyat Malaysia juga tidak melepaskan peluang membeli baju raya di Hatyai.

Tambah Norleza, setiap kali Ramadan mereka turut mengambil peluang berbuka di negara jiran itu bagi merasai suasana sebagai perantau.

“Ada hari kami pilih berbuka di gerai berhampiran hotel, ada hari keluar jauh dari hotel untuk mendapatkan suasana berbuka,” katanya.

Menurut Noor Adley Ismail, 40, pula, sejak sembilan tahun lalu dia jadikan Hatyai sebagai lokasi utama untuk dirinya serta keluarga melakukan persiapan raya.

Noor Adley.

Jelasnya, mendirikan rumahtangga dengan wanita Thailand menjadi satu kelebihan untuk dirinya mendapatkan harga lebih murah memandangkan isterinya boleh menggunakan bahasa perantaraan tempatan bagi aktiviti tawar-menawar barang.

“Selain datang untuk membeli belah, saya juga ambil peluang datang ke sini pada bulan Ramadan untuk berbuka bersama keluarga mentua di Pattani.

“Kalau nak dibandingkan harga mungkin lebih kurang sama dengan kita (Malaysia) tapi pilihan, saiz serta warna lebih banyak di sini.

“Sama juga dari segi aktiviti pada bulan Ramadan, masjid di daerah yang kebanyakan didiami orang Muslim meriah dengan pelbagai program termasuk solat Tarawih,” katanya yang berasal dari Perlis.

Sementara itu, situasi berbeza bagi pasangan Mohd Noor Asyikin Saad dan isterinya, Shariza Zacharia yang datang ke Hatyai semata-mata untuk menikmati juadah berbuka.

Mohd Noor Asyikin dan isterinya, Shariza menunjukkan border pass mereka yang penuh dengan cap keluar masuk negara Gajah Putih itu.

“Memang selalu kami masuk sini (Thailand) untuk makan saja kerana banyak pilihan serta kuantitinya berbaloi berbanding tempat sendiri (Malaysia).

“Bukan nak cakap tempat sendiri tak ok, tapi berbekal RM100 (770 Baht) boleh dikatakan agak mewah untuk kita makan di sini.

“Tiga atau empat ekor udang baru dijual pada harga 100 Baht (RM13); set nasi bersama ikan, sayur dan lain-lain anggaran 300 Baht (RM40) jadi masih berbaki wang jika dibanding makanan sama di Malaysia,” katanya.

Tambah Shariza, selalunya dia dan suami akan pulang ke rumah di Perlis sebaik selesai aktiviti ‘memburu makanan’.

“Boleh dikatakan border pas kami penuh dengan cap keluar masuk Thailand jadi tak terkira berapa kali kami masuk sini setahun.

“Kalau masuk sampai Hatyai kami akan bermalam tapi kalau setakat berhampiran sempadan selalunya sekadar touch n go (makan dan balik).

“Selain itu, kami juga memilih untuk ke sini  bukan pada musim cuti sekolah bagi mengelak kesesakan di kaunter imigresen serta lokasi tumpuan contohnya floating market, Asean market dan lain-lain yang menjadi tumpuan orang kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette