HARI RAYA Aidilfitri melambangkan manifestasi kemenangan umat Islam dalam mendidik nafsu sepanjang Ramadan. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mendidik jiwa selama sebulan. Didikan jiwa ini bermula dengan sahur yang mengajar disiplin, selain itu puasa turut melatih kita mengawal nafsu zahir dan batin. Pada waktu berbuka pula, kita dilatih dengan sifat dermawan, manakala solat tarawih dan qiyamullail merupakan latikan mendekatkan diri dengan Allah.
Amalan iktikaf pula mengikat hati dengan rumah-Nya. Kesemua amalan ini membentuk latihan rohani yang lengkap bagi mereka yang berpuasa dengan penuh ketaatan dan keikhlasan. Setelah sebulan menjalani ibadah puasa yang dihiasi dengan pelbagai amalan kerohanian, umat Islam akhirnya meraikan kemenangan mereka melalui sambutan Hari Raya Aidilfitri, atau dikenali sebagai Eid-ul-Fitr. Dalam menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan dan kegembiraan, penting bagi umat Islam untuk memahami maksud dan falsafah “ meraikan kemenangan” Hari Raya tersebut. Kefahaman sebenar ini menjadikan seseorang itu tidak lupa dirinya dan terus istiqamah dengan amalannya yang telah dilakukan sepanjang berpuasa di bulan Ramadan.
Kemenangan mengawal nafsu
Meraikan sambutan Aidilfitri di bulan syawal membuktikan seseorang itu telah mencapai kemenangan mengawal nafsu, seterusnya nafsu itu dididik dengan baik dengan cara meninggalkan amalan yang dilarang. Maka, hari raya merupakan masa untuk meraikan kemenangan umat Islam menundukkan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadan. Menurut al-Ghazali, terdapat dua nafsu dalam diri manusia yang perlu dididik iaitu nafsu Nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang tidak stabil, adakalanya cenderung kepada kebaikan, namun mudah dipengaruhi oleh kehendak dan syahwat. Seterusnya nafsu ammarah, iaitu nafsu yang sentiasa mendorong kepada kejahatan dan sering tunduk kepada godaan syaitan. Nafsu inilah yang dididik sepanjang berpuasa serta dilatih untuk mencapai nafsu mutmainnah, iaitu nafsu yang tenang dan damai serta cenderung kepada kebaikan.
Bayangkan seseorang itu berusaha selama sebulan menyucikan nafsunya dengan mengawal dan mendidiknya dan diisi sifat-sifat terpuji serta amalan soleh, maka proses ini perlu diteruskan pada sambutan Aidilfitri dengan bersederhana dalam menyambut hari raya baik dari sudut menjaga pakaian, pengambilan makanan, pergaulan, percakapan dan tingkah laku. Seharusnya kemenangan mendidik nafsu ini tidak diabaikan dan perlu dijaga sebaiknya agar tidak dicemari dengan amalan yang mampu melemahkan kawalan nafsu tersebut. Tiadalah ertinya kemenangan jika seseorang itu tidak mampu mengawal nafsunya pada bulan syawal ini.
Kemenangan rohani
Seterusnya ialah Aidilfitri merupakan sambutan kemenangan rohani. Ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan seperti solat tarawih, membaca serta bertadarus al-Quran, menjaga kata-kata, beritikaf, menghadiri majlis ilmu, menutup aurat, dan bersedekah membantu seseorang mencapai kemenangan rohani dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu kemenangan rohani dapat dilihat daripada pelaksanaan berpuasa dengan penuh kesabaran dan keikhlasan, berjaya menahan diri daripada lapar, dahaga, tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa atau mengurangkan pahala berpuasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Ini menunjukkan kekuatan iman dan kesabaran mereka dalam mengawal nafsu demi mencari keredaan Allah.
Sepanjang bulan Ramadan juga seseorang akan berazam untuk menjadi insan lebih baik, meninggalkan sifat buruk dan mendisiplinkan diri dalam ibadah bagi meraih kemenangan rohani. Pada mereka yang mencari bekalan rohani akan menghadiri majlis ilmu, memperbanyakkan zikir, selawat serta doa untuk mendapat keampunan, rahmat dan keredaan Allah SWT. Malah pada sepuluh malam terakhir, seseorang itu akan mempergiatkan amalannya, menjauhkan diri daripada urusan duniawi demi mencapai kemenangan mencari malam lailatulqadar. Maka, kemenangan rohani pada Aidilfitri merujuk kepada kejayaan umat Islam dalam mengatasi godaan duniawi pada sepanjang bulan Ramadan. Inilah lambang kekuatan iman dan ketakwaan seseorang Muslim dalam menghadapi dugaan dan cabaran kehidupan.
Kemenangan membentuk akhlak mulia
Apakah lagi kemenangan di Aidilfitri ini? Kemenangan membentuk akhlak mulia di mana meneruskan usaha-usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan yang mendidik seseorang menjadi insan bertakwa dan berakhlak tinggi. Sepanjang umat Islam melaksanakan puasa, mereka berusaha sedaya upaya untuk memperbanyakkan bersabar, menjaga pertuturan, tidak mengeluarkan kata-kata kesat, menutup aurat, menjaga solat, khususnya tidak meninggalkan solat Tarawih pada setiap malam Ramadan, mengelakkan pergaduhan dan perselisihan, mengamalkan gaya hidup sederhana, tidak berlebih-lebihan ketika berbuka dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada.
Pembinaan akhlak terpuji yang dipupuk sepanjang Ramadan mampu membentuk peribadi mulia, belas kasihan, dermawan, sederhana dan ikhlas seharusnya diteruskan selepas bulan puasa. Kemenangan sebenar bukan sekadar meraikan Hari Raya, tetapi dapat mengekalkan akhlak mulia ini dalam kehidupan seharian serta terus beristiqamah dalam melakukan amal soleh. Kemenangan di Hari Raya sebenarnya mencerminkan azam untuk meneruskan serta mengekalkan akhlak mulia yang dididik sepanjang bulan Ramadan bagi membentuk peribadi menjadi insan yang kamil.
Kemenangan mengatasi cabaran mental dan fizikal
Berpuasa selama sebulan sebenarnya merupakan satu cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang serta menuntut disiplin dan azam yang tinggi untuk menghadapinya. Maka Hari Raya sebenarnya meraikan kemenangan umat Islam mengatasi segala cabaran ini. Kemenangan ini memperteguhkan kekuatan dalaman hasil daripada kekuatan jasmani dan emosinya yang mengharungi cabaran tersebut. Sepanjang berpuasa, seseorang itu berhadapan dengan cabaran fizikal, menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga terbenam matahari bagi tempoh yang lama.
Ini mampu menyebabkan kelaparan, kehausan dan keletihan fizikal. Namun, umat Islam masih meneruskan aktiviti harian dengan meneruskan tanggungjawab seperti bekerja, belajar atau menguruskan keluarga. Perkara inimenuntut stamina dan daya tahan fizikal yang tinggi. Bagi cabaran mental pula, seseorang itu perlu melawan keinginan untuk makan, minum atau melakukan perkara yang membatalkan puasa. Situasi ini menguji kekuatan mental dan keazaman yang tinggi untuk mengawal nafsu. Bagi mereka yang bergelar pelajar atau pekerja, perlu mengekalkan fokus dan produktiviti. Walaupun berasa lapar dan dahaga, tumpuan kepada pembelajaran dan kerja turut dikekalkan dan perlu diselesaikan berdasarkan amanah yang diberikan.
Mental yang kuat perlu tahu mengawal emosi. Sepanjang berpuasa akan menguji kemampuan seseorang untuk mengawal emosi seperti marah, runsing, tertekan dan resah, kerana emosi ini boleh menjejaskan niat dan keikhlasan dalam berpuasa. Begitu juga dengan amalan-amalan ibadah yang meningkatkan takwa dan lebih mendekatkan diri kepada Allah, semua ini menuntut komitmen mental untuk terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan baik. Apabila seseorang itu berjaya mengatasi cabaran mental dan fizikal ini di sepanjang Ramadan, mereka akan meraih kemenangan hakiki dalam mendisiplinkan diri, meningkatkan ketahanan fizikal dan mental, serta memantapkan kerohanian. Kemenangan ini menjadikan mereka individu yang lebih tabah, berdisiplin dan beriman untuk mengharungi cabaran kehidupan.
Kemenangan dalam mengukuhkan perpaduan
Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan yang meraikan tamatnya bulan Ramadan, namun menunjukkan manifestasi perpaduan dalam kalangan umat Islam. Kemenangan dalam perpaduan ini bermula dari mendirikan solat sunat Aidilfitri. Umat Islam dari pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat akan berkumpul di masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama. Ini menunjukkan kesatuan dan kesaksamaan dalam beribadah. Perpaduan ini terus disemai melalui penyampaian khutbah Aidilfitri yang selalunya menyentuh tentang kepentingan perpaduan, kasih sayang dan kemaafan. Ini menyemai semangat persaudaraan dalam kalangan jemaah.
Meraikan kemenangan diteruskan melalui kunjungan, menziarahi saudara-mara, jiran tetangga dan rakan-rakan. Sambutan Aidilfitri akan menjadi medan pertemuan sanak saudara terutamanya mereka yang jarang bertemu sepanjang tahun. Ketika ini mereka saling bermaafan dan menikmati juadah bersama-sama. Aktiviti sebegini mampu mengukuhkan ikatan kekeluargaan, mengekalkan hubungan baik antara ahli keluarga, memupuk semangat kejiranan dan persefahaman dalam keluarga dan masyarakat. Perkongsian rezeki melalui pemberian duit raya kepada anak-anak, menyediakan juadah untuk tetamu, bersedekah kepada yang memerlukan bukan sahaja menyerikan sambutan Aidilfitri, namun menjadi platform untuk bersedekah, memupuk rasa empati, membantu sesama manusia serta mendidik nilai kebersamaan dan perkongsian.
Kemenangan dalam perpaduan yang ditonjolkan pada sambutan Aidilfitri sebenarnya mencerminkan semangat persaudaraan dalam Islam. Kemenangan ini menyatukan umat Islam dalam ikatan iman dan menggalakkan sikap saling menghormati, mengasihi dan bertolak ansur. Perpaduan ini bukan sahaja penting untuk kesejahteraan ummah, tetapi juga menjadi contoh teladan kepada masyarakat
berbilang kaum dan agama.
Kesimpulan
Oleh itu, adalah penting untuk kita memahami dan menghayati falsafah kemenangan di sebaliksambutan Hari Raya Aidilfitri agar kemenangan yang dikecapi tidak tersasar dengan perbuatan dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam. Kemenangan ini seharusnya menjadi pemangkin untuk umat Islam agar terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan baik, bukan sahaja di bulan Ramadan, tetapi sepanjang tahun. Inilah intipati sebenar Aidilfitri yang perlu dihayati agar kita sentiasa berada di landasan yang diredhai Allah.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi &
Al Anshary Otuh Salleh
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Open Universiti Malaysia