MELAKA – Pemandu kenderaan polis yang terlibat dalam nahas sehingga menyebabkan kematian seorang remaja di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini, awal pagi 1 Syawal lalu telah ditahan polis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, anggota berpangkat koperal berusia 37 tahun itu ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada pukul 9 pagi tadi.
“Sehingga kini, rakaman percakapan masih dijalankan dan sekiranya suspek gagal beri kerjasama, barulah kita akan memohon perintah reman untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini kita sudah menerima enam laporan polis berkaitan insiden berkenaan dan melakukan tiga rakaman percakapan daripada saksi serta ahli keluarga mangsa.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap anggota berkenaan juga mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 2.56 pagi Rabu lalu mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, yang cedera parah dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.37 pagi Khamis selepas lebih 21 jam dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Nahas berlaku selepas motosikal ditunggangi mangsa dikatakan merempuh sebuah pacuan empat roda polis yang melakukan rondaan mencegah lumba haram dalam kejadian awal pagi 1 Syawal.
Mangsa tercampak setinggi beberapa meter sebelum terjatuh berdasarkan beberapa rakaman klip video yang tular sejak semalam.
Berdasarkan rakaman, insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap anggota polis berkenaan kerana didakwa sengaja merempuh mangsa yang ketika itu berada di jalan utama.
Mengulas lanjut, Zainol berkata, ketika kejadian, anggota berkenaan memandu kenderaan pacuan empat roda polis itu sendirian sebelum beberapa anggota lain tiba di lokasi selepas berlakunya nahas.
“Ketika itu, suspek yang bertugas di Unit Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Durian Tunggal itu dalam mod bersiap sedia khidmatnya diperlukan.
“Anggota berkenaan juga tidak memakai uniform polis ketika kejadian dan kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000. – MalaysiaGazette.