Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran emas Malaysia menunjukkan dua fenomena bertentangan.

Pada saat ada yang mengambil kesempatan kenaikan harga emas untuk menjual barangan kemas mereka, ada pula yang tetap membeli emas walaupun mahal.

Pengarah Urusan Tomei Gold & Jewellery, Datuk Ng Yih Pyng berkata, walaupun harga emas berada pada peras tinggi, tetapi emas tetap dilihat sebagai pelaburan kurang berisiko.

“Selain pelaburan emas, sesetengah orang juga mula melabur dalam perak putih kerana harga perak putih di peringkat global juga mengalami kenaikan.

“Kadar kenaikan harga perak putih adalah setanding emas, walaupun harga perak putih adalah jauh lebih murah berbanding emas,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Jelasnya, dengan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) bakal diperkenalkan, orang ramai juga mengambil kesempatan membeli emas pada tiga bulan pertama 2024.

“Disebabkan harga yang tinggi, pengguna lebih cenderung membeli ketulan emas yang kecil atau syiling emas, ada juga yang membeli barangan kemas emas,” katanya.

Menurutnya, disebabkan faktor hari raya, jualan emas juga bertambah hangat, termasuk ada yang menukar barangan kemas yang lama untuk yang baharu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Emas Malaysia, Datuk Wira Louis Ng berkata, orang Malaysia membeli emas untuk tujuan pelaburan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Katanya, walaupun bergelombang, tetapi jualan emas di Malaysia masih kukuh atas faktor pelaburan dan juga kegemaran peribadi orang Malaysia terhadap emas.

Menurutnya, pergolakan di Timur Tengah, Rusia dan Ukraine menyebabkan seluruh dunia mahu membeli emas fizikal.

“Jika keadaan perang tidak bertambah baik, maka harga emas akan meningkat lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast