TEHRAN – Iran telah melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu di Israel.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) negara itu mengesahkan perkara itu selepas Israel berkata Teheran telah memulakan serangan ke atasnya.
IRGC berkata, ia telah melepaskan dron dan peluru berpandu di bawah operasi “True Promise”, sambil menambah tindakan itu adalah sebahagian daripada hukuman untuk “jenayah Israel”.
Israel berkata, dron itu akan mengambil masa beberapa jam sebelum sampai ke ruang udaranya.
Serangan itu berlaku hampir dua minggu selepas serangan Israel ke atas konsulat Iran di Syria membunuh tujuh anggota IRGC.
“Kami melancarkan operasi menggunakan dron dan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap jenayah entiti Zionis menyasarkan konsulat Iran di Syria.
“Operasi itu dilakukan dengan berpuluh-puluh peluru berpandu dan dron untuk menyerang sasaran tertentu di wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.
Bercakap dalam ucapan televisyen pada hari Sabtu, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, berkata: “Iran melancarkan UAV [kenderaan udara tanpa pemandu] dari wilayahnya menuju ke Israel.
“Ini adalah peningkatan yang serius dan berbahaya. Keupayaan pertahanan dan serangan kami berada pada tahap kesediaan tertinggi menjelang serangan berskala besar dari Iran ini”.
Israel telah berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak serangannya ke atas Damsyik pada 1 April, walaupun ia tidak mengulas mengenai serangan itu.
Serangan balas oleh Iran terhadap Israel sudah dijangka.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, ia sudag bersedia untuk “serangan terus dari Iran”.
Menteri Pertahanan Yoav Gallant berkata. Israel “memantau dengan teliti serangan yang dirancang” terhadapnya oleh Iran dan sekutunya di rantau itu.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang pada hari Jumaat memberi amaran kepada Iran daripada menyerang Israel selepas berkata senario seperti itu kelihatan akan berlaku, telah berjanji untuk bersama Israel menentang Iran.
Susulan kejadian ini, Syria juga berwaspada tinggi sistem pertahanan darat Pantsir buatan Rusia di sekitar ibu kota Damsyik dan pangkalan utama sekiranya serangan Israel, kata sumber tentera.
Sementara itu, Iraq, Jordan, Lubnan dan Israel mengumumkan telah menutup sementara ruang udara mereka. – Agensi