KUALA LUMPUR – Selepas jatuh ditimpa tangga, suami penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Red ‘dilamar’ Mentor Keusahawanan terkenal, Datuk Wira Dr Azizan Osman yang mahu memberi bimbingan kepadanya untuk bangkit semula.

Datuk Red atau nama sebenar Datuk Seri Adenan Abu Bakar, 46, berkata, beliau bersedia menerima lamaran itu selepas dilantik menjadi duta dan rakan kongsi produk HIM Coffee hasil kerjasama dengan pemilik Him Wellness Clinic, Dr Samhan.

Sebelum ini, beliau membuat pengakuan sedang melalui kesukaran hidup selain tidak memiliki pekerjaan selepas diisytiharkan muflis sejak 2019.

“Saya berterima kasih kepada Dr. Azizan atas kesediaan beliau untuk membimbing saya dan Dr. Samhan atas peluang untuk berkolaborasi dalam perniagaannya.

“Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya dengan tunjuk ajar Dr. Azizan untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan bersama Dr. Samhan,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr. Azizan berkata, pihaknya yakin hasil kerjasama Datuk Red dengan Dr. Samhan, yang juga seorang pempengaruh terkenal, mampu memberikan suntikan semangat bagi Adenan untuk bangkit semula.

“Saya yakin dengan kerjasama ini, Datuk Red dapat bangkit semula dan mencapai jualan pertamanya sebanyak RM1 juta dalam tempoh tiga bulan.

“InsyaAllah, dengan izinnya dan sokongan daripada semua pihak, saya dan RichWorks akan cuba membantu Datuk Red dengan bimbingan perniagaan agar beliau dapat menyelesaikan hutangnya dan keluar dari muflis dengan memulakan perniagaan baharu ini.

“Dengan sokongan padu daripada orang ramai dan komitmen Datuk Red, saya jangkakan beliau akan dapat keluar daripada kesilapan dan belenggu hutang sebanyak RM7 juta ini dalam tempoh tiga tahun.

“Cuma syaratnya, kerjasama ini akan dipantau sepenuhnya oleh saya sendiri. Saya akan memberi bimbingan dan strategi perniagaan sehingga hutang itu langsai sepenuhnya,” kata Dr Azizan.

Dalam pada itu, beliau berharap kejayaan Datuk Red akan memberikan inspirasi kepada ramai orang yang mungkin menghadapi cabaran yang sama bahawa setiap orang mampu bangkit dari kegagalan atau cabaran.

Mengulas lanjut, Datuk Red berkata, keutamaan buat dirinya pada ketika ini adalah untuk menyelesaikan segala hutangnya menerusi perniagaan yang bakal dijalankan.

“Niat saya memang untuk menyelesaikan hutang. Memang saya minta (doa) dengan Allah macam itu. Saya tidak mahu bermewah-mewah dengan kereta mewah, melancong atau kahwin lain,” jelasnya.

Terdahulu, Dr. Azizan telah menyertai siaran langsung TikTok Datuk Red dan berkongsi beberapa panduan untuk beliau bangkit semula. – MalaysiaGazette