Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara. Foto: Fb Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Malaysia menerima kesan yang kecil daripada serangan Iran ke atas rejim Zionis semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dibuka dengan kejatuhan yang amat kecil yang mana ia mencerminkan trend serantau.

Tambah beliau, kerajaan akan terus memantau perkembangan itu dan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.

“Kunci penyelesaian kepada isu ini ialah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan yang tidak berperikemanusiaan yang melanda Gaza.

“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara menerusi kenyataan media, hari ini.

Semalam, Iran telah melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu ke Israel di bawah operasi ‘True Promise’ yang mana tindakan itu merupakan sebahagian daripada hukuman untuk jenayah Israel.

Serangan itu berlaku hampir dua minggu selepas serangan Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik yang membunuh tujuh anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Menurut Perdana Menteri, gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dan Malaysia akan menyumbang sebanyak 100 kontena pada 27 April ini.

Sementara itu, Anwar berkata, serangan Iran terhadap rejim Zionis merupakan tindakan yang sah berikutan serangan rejim itu terhadap Kedutaan Iran di Damsyik, Syria.

Katanya, Malaysia berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh Iran bahawa negara itu tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan, kecuali diserang rejim Zionis.

Berikutan itu, katanya, Malaysia menggesa Israel untuk tidak mengambil tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan di Timur Tengah. – MalaysiaGazette