BATU GAJAH – Sepasang warga emas hidup dalam ketakutan apabila menerima nota ugutan ‘seluruh keluarga akan mati’ daripada ceti haram atau ah long selain rumah mereka disimbah cat merah di Kampung Nalla, Tronoh baru-baru ini.
Ho Weng Yun, 63, berkata, dia dan isteri, Loh Hor Thal, 60, terpaksa berdepan dengan situasi itu selepas anak bongsu lelaki mereka berusia 31 tahun membuat pinjaman ah long sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, dia berkata, ah long terbabit tidak pernah menyatakan jumlah sebenar wang yang dipinjam anaknya.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, mereka menerima ugutan melalui panggilan telefon, mesej dari aplikasi WhatsApp dan terbaharu rumah mereka disimbah cat merah pada 6 April lalu.
“Kami mula menerima panggilan telefon daripada ah long pada Oktober tahun lalu disusuli notis yang ditampal di hadapan rumah dengan tulisan seperti ‘penipu busuk, seluruh keluarga mati’ dan ‘bayar hutang segera’ serta mesej melalui aplikasi WhatsApp.
“Terbaharu, rumah kami disimbah cat merah di hadapan rumah sekitar 7 malam. Ketika itu, saya bersama isteri dan empat cucu berada di dalam rumah. Akibat kejadian itu, kami sekeluarga hidup kini hidup dalam ketakutan akibat ugutan ahlong tersebut,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media khas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Steven Tiw Tiee Siang di pusat khidmatnya di sini hari ini.
Dia berkata, kali terakhir dia bertemu anak bongsunya itu secara bersemuka pada Oktober tahun lalu.
Katanya, anak lelakinya itu bekerja sebagai pembantu penjaja kecil dan tinggal bersama isteri dan anak lelaki mereka berusia lima tahun manakala anak perempuannya yang berusia lapan tahun tinggal bersama mereka di sini.
“Sebenarnya anak kami bekerja di Singapura sejak lima tahun lalu dan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP), dia ada pulang ke rumah selama dua bulan sebelum melarikan diri. Dua hari selepas itu, ah long mula mengugut kami.
“Disebabkan perkara ini, kami membuat keputusan untuk memutuskan hubungan keluarga dengannya,” jelasnya.
Hor Tal berkata, sebagai seorang ibu dia selalu menasihati anak bongsunya itu supaya menghindari perbuatan negatif seperti berjudi dan meminjam along.
“Saya juga pernah berpesan kepadanya supaya tidak terjebak dengan sebarang aktiviti negatif dan pulang ke rumah bekerja namun nasihat itu tidak diendahkan. Secara jujurnya kami tidak tidak mampu membayar hutang ah long kerana tidak berkemampuan,” katanya.
Sementara itu, Tiee Siang berkata, setakat ini pasangan warga emas terbabit tidak tahu di mana keberadaan anak mereka.
Menurutnya, anak pasangan itu memaklumkan pernah berada di Ipoh, Menglembu dan Kuala Lumpur namun sehingga kini mereka tidak lokasi sebenar lelaki terbabit.
“Mereka tampil meminta bantuan saya untuk mengadakan sidang media ini untuk menjelaskan bahawa apa yang berlaku jangan menganggu ketenteraman dalam kalangan jiran dan di rumah mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette