MELAKA – Dua rakan yang disyaki melakukan aktiviti penipuan pinjaman tidak wujud hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, atas pertuduhan memberi dan bersubahat merasuah seorang pegawai polis RM60,000, bagi mengelak dikenakan tindakan.
Teo Teck Qing, 26, didakwa memberi rasuah berjumlah RM60,000 kepada DSP Supari Muhamad yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dirinya dan rakan-rakannya.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan kedai 99 Speedmart Simpang Point Fasa II Simpang Ampat, Alor Gajah pada 1 Jun 2023 sekitar 1.15 tengah hari.
Keong Kah Wai,19, pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan Teo, yang memberikan suapan kepada pengadu yang sama, pada tarikh dan lokasi yang sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Teo dan rakan-rakannya, yang disyaki melakukan kesalahan aktiviti penipuan tersebut.
Teo didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, manakala Keong dituduh di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 17(b) dan Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Dalam prosiding pendakwaan yang dilakukan secara berasingan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, mencadangkan kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM80,000 beserta syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes diselesaikan.
Manakala peguam Umar Zulkarnain yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon agar jaminan rendah dikenakan terhadap kedua-dua anak guamnya.
Hakim Elesabet Paya Wan kemudiannya memutuskan Teo diikat jamin RM40,000, manakala RM30,000 ke atas Keong dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dan menetapkan 21 Mei sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes dan dokumen. – BERNAMA