PUTRAJAYA – Beberapa menteri Kabinet dan kepimpinan gabungan kerajaan hari ini tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Kenderaan yang membawa mereka mula memasuki pekarangan Sri Perdana sejak jam 4.30 petang tadi.
Antara yang hadir adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah); Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mesyuarat yang dijangka bermula jam 5.30 petang itu akan dipengerusikan oleh Anwar yang dijadualkan membincangkan isu pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Sebelum ini Fadillah berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Ia susulan perjumpaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengannya di Parlimen pada 19 Mac lalu.
Perjumpaan itu membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. – MalaysiaGazette