HULU SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kelewatan Kerajaan Madani dalam mengagihkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang selepas lebih setahun memerintah.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tidak sepatutnya orang politik mencampuri urusan penyaluran peruntukan sedangkan ia adalah hak wakil rakyat.
“Mengapa mengambil masa terlalu panjang untuk memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen, itu adalah hak kita. Mengapa orang politik harus terlibat yang menentukan saluran dana ini.
“Ini bukan wang Pakatan Harapan (PH), ini adalah wang pembayar cukai yang dikutip oleh kerajaan.
“Ia harus diuruskan dengan bertanggungjawab melalui ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, mereka bukan dipilih oleh parti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau bersama pimpinan PN Selangor mengadakan ziarah Aidilfitri hampir tiga jam di sekitar Kuala Kubu Bharu.
Media sebelum ini melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan dijangka bermesyuarat petang ini bagi membincangkan isu pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Difahamkan, mesyuarat itu akan berlangsung pukul 5.30 petang ini di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin juga berkata, pemberian peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diperkenalkan beliau semasa menerajui kerajaan negeri.
“Ketika menjadi Menteri Besar, saya telah memperkenalkan dasar ini, kita memberi peruntukan kepada pembangkang,” katanya.
Selain peruntukan wakil rakyat, Mohamed Azmin juga mempersoalkan kelewatan kerajaan membayar wang royalti kepada Terengganu dan Kelantan yang tertunggak sejak Mac tahun lalu.
“Begitu juga dengan wang royalti kepada Kelantan dan Terengganu, mengapa ditangguh-tangguhkan? Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kerajaan Negeri Terengganu sahaja menerima RM1.6 bilion setahun dari 2018, 2019 dan hingga zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kerana itu adalah hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan,” tegasnya.
Katanya, bukan sahaja wang royalti tertunggak bahkan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menaikkan sehingga 20 peratus masih tidak tertunai sehingga ke hari ini.
“Sekarang jangan kata 20 peratus, lima peratus yang sudah ada dalam Perlembagaan pun tidak dilaksanakan. Mengapa nak dibawa mesyuarat, nak dibincang, apa nak dibincangkan, itu adalah hak ahli Parlimen, hak kerajaan Terengganu dan Kelantan.
“Mereka sebenar menghukum orang-orang Melayu dan Islam yang merupakan majoriti di Kelantan dan Terengganu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette