Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam utama mewakili Datuk Seri Najib Razak kesal dan mempersoalkan mengapa kerajaan seolah-olah ‘menyembunyikan’ kewujudan titah tambahan yang membolehkan anak guamnya menjalani hukuman penjara sebagai tahanan dalam rumah.

Menurut Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beliau telah menghantar tujuh keping surat berkaitan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri kabinet lain namun tidak ada sebarang balasan.

“Anda tidak boleh sorok titah (adendum bertarikh 29 Januari 2024) ini.

“Mengapa sorokkan titah tambahan ini? Tidak ada sesiapa pun yang boleh sorokkan perkara ini. Ini adalah titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada media di luar mahkamah hari ini.

Difahamkan Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya beliau boleh menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Muhammad Shafee juga mendedahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh juga mengarahkan hujahan bertulis tambahan difailkan sebelum keputusan itu dibuat.

Pagi ini beliau memaklumkan adanya identiti ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib.

Najib telah memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. -MalaysiaGazette