Datuk Seri Ahmad Zahid sedang menandatangi dokumen sambil disaksikan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Afidavit Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bukti keikhlasan seorang sahabat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Presiden UMNO itu terus istiqamah membela Najib biar pun berhadapan dengan pebagai tohmahan.

“Inilah hakikat keikhlasan dan ketulusan sebenar Datuk Seri Zahid terhadap seorang yang dianggap sahabat, mentor dan bekas bos yang pernah beliau bersama hampir 40 tahun lamanya.

“Biarpun dinista, ditohmah dan dilemparkan dengan pelbagai persepsi namun beliau tidak pernah sedikit pun tergugat malah terus istiqomah membela Datuk Seri Najib Razak walaupun penuh ranjau dan duri. Hanya Allah sahaja Maha Mengetahui segalanya,” kata Asyraf dalam perkongsian di media sosial.

Asyraf Wajdi berkongsi status Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Facebook yang berkongsi foto Ahmad Zahid sedang menandatangi dokumen sambil disaksikan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Foto yang dikongsi oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Facebook.

Sementara itu Megat Zulkarnain berkata, Ahmad Zahid menandatagani afidavit tersebut pada petang terakhir Ramadan pada 9 April iaitu tidak sampai 24 jam Presiden UMNO itu pulang daripada menunaikan umrah.

“Walaupun ada yang cuba merekayasa kononnya Datuk Seri Zahid tak berbuat apa. Walaupun ada yang cuba menangguk di air keruh kononnya mereka menjadi pembela bossku, hakikatnya jasad yang berada di sebalik tirai besi itu tahu sahabatnya tidak pernah kenal erti jemu dalam mencari usaha mendapatkan pembelaan buat dirinya.

“Mengenali Datuk Seri Ahmad Zahid sedekah yang dihulur pun tak pernah nak dijaja apatah lagi langkah membela sahabat sejatinya. Walau ada yang bertanya apa Zahid buat untuk membela bossku?

“Cukup untuk saya menyebut sebagai orang yang sering menjadi perantara dan sebagai seorang yg amat rapat dengan Dato Sri Najib serta keluarganya, tidak ada satu ruang perundangan mahupun rundingan yg dilepaskan oleh Datuk Seri Zahid untuk membela nasib Bossku,” kata Megat Zulkarnain.

Katanya, afidavit menyokong petisyen Najib adalah kemuncak usaha Ahmad Zahid demi membantu sahabatnya.

“Apabila sebagai orang yang mempunyai hak, Datuk Seri Najib memfailkan petisyen, tanpa ragu dan dalam keadaan sedar risiko yang mungkin ada di hadapannya Datuk Seri Zahid tampil mengikut lunas perudangan memfailkan affidavit kerana bagi beliau usahanya kini sampai ke kemuncak melalui proses perundangan untuk membela sahabatnya.

“Tumpah air mata saya tatkala mengambil gambar ini pada petang terakhir Ramadan kerana di bulan penuh keberkatan, Datuk Seri Zahid menzahirkan sokongan buat sahabatnya Datuk Seri Najib dengan menandatangani affidavit yang bukan sahaja pembuktian usaha beliau membantu Datuk Seri Najib tetapi sebenarnya tindakan memuliakan serta menjunjung kasih atas titah adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast