Oplus_131072

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) belum menerima rayuan daripada pihak Lebuhraya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated (PJD Link) berhubung keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan projek itu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KKM juga menafikan wujudnya rundingan antara KKR dan pemaju bagi memastikan projek tersebut tidak dihentikan sepenuhnya.

“Setakat ini saya belum tahu kalau dia ada buat kenyataan itu, belum sampai secara rasmi kepada kami,” katanya kepada pemberita, di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya PJD Link.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Alexander mengesahkan perkara itu seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, pada Rabu.

“Memang itulah keputusan Kabinet, memang tepat yang dinyatakan oleh YB Fahmi.

“PJD Link ini macam sudah terbatal sebab dia diberi tempoh. Jadi semasa tempoh itu tamat, dia tak dapat memenuhi syarat-syarat yang diperlukan,” katanya.

Ditanya tentang pembatalan projek itu melibatkan sebarang bayaran pampasan, beliau berkata, KKR perlu meneliti semula kontrak projek terbabit.

“Buat masa sekarang, saya belum pasti lagi, kita tengoklah, saya ingat mungkin tak ada, kita nak lihat.

“Lepas itu kita nak semak (perjanjian),” katanya. – MalaysiaGazette