Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesahkan tiga anggota yang tidak memakai uniform atau vest jabatan itu semasa operasi penyamaran ke atas bas ekspres adalah pegawai penguatkuasanya.

Menurut kenyataan JPJ, Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 bermula Jumaat 1 April hingga 20 April ini dilaksanakan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekpres.

“Sepanjang operasi tersebut, jabatan telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu bas di terminal-terminal bas sebelum melaksanakan perjalanan, pemantauan di lokasi yang sering berlaku kemalangan termasuk menggunakan dron, menyamar sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran menggunakan kenderaan tanpa lambang JPJ.

“JPJ juga bertindak atas aduan serta maklumat daripada orang ramai melalui sisten eAduan dalam aplikasi MyJPJ,” katanya, hari ini.

Katanya, rakaman video yang tular mendapati tiga anggota penguatkuasa JPJ tanpa uniform atau vest sedang melakukan pemeriksaan dan menahan sebuah bas penumpang ketika operasi pada jam 12.10 tengahari 16 April lalu di Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Utara Nilai menggunakan kaedah penyamaran.

Menurut kenyataan itu, pegawai penguatkuasa JPJ dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

“Bagaimanapun, pegawai penguatkuasa perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kusa) yang dikeluarkan Ketua Pengarah JPJ sekiranya diminta berbuat demikian dan ia selaras dengan Seksyen 123(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Sebagai makluman, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kes berkenaan sedang dalam siasatan polis

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut dan memberikan ruang kepada PDRM untuk melakukan siasatan penuh,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast