KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengarahkan Kawalselia Padi dan Beras untuk menyiasat kejadian pembuangan beras di Kuala Krau, Pahang.
Mohamad berkata, satu kenyataan rasmi berkaitan insiden itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
“Saya telah mengarahkan siasatan segera dijalankan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Temerloh, Pahang berkaitan insiden timbunan beras yang dipercayai dibuang di sebuah kawasan pembuangan sampah di Kuala Krau, Pahang.
“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan dengan kadar yang segera,” katanya ringkas di media sosial.
Media semalam melaporkan, tular lambakan beras, sardin, tepung dan teh dibuang begitu sahaja di satu lokasi di Kuala Krau.
Insiden tersebut tular selepas dimuatnaik dalam media sosial Facebook di mana lambakan beras tersebut telah dibakar dan lokasinya dikatakan berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum.
Suasana itu menyebabkan ramai memberi komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengapa perkara itu terjadi termasuk antara punca kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran sekarang.
Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan membazir itu.
Namun, berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai, beras dan berapa makanan lain itu dibuang kerana sudah luput tarikh dan rosak setelah disimpan terlalu lama.
Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan membazir itu. – MalaysiaGazette