Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman menyampaikan ucapan teks Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di Universiti Multimedia, hari ini.

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, bersetuju moratorium pelawaan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) Swaakreditasi dilaksanakan bagi tempoh tiga hingga lima tahun bagi membolehkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menilai semula kriteria penilaian berkaitan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius terhadap laporan yang menunjukkan prestasi PPT Swaakreditasi kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.

“Pelaksanaan moratorium ini bertujuan untuk memastikan kelestarian kualiti, selain melibatkan proses audit dan penambahbaikan yang berterusan terhadap semua PPT Swaakreditasi sedia ada.

“Hal ini dilaksanakan selepas mengambil kira faktor penilaian dan keperluan yang telah dibentangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memelihara status prestasi PPT di negara ini.

“Setiap PPT Swaakreditasi mesti mendapat skor yang baik, iaitu sekitar 80 untuk menunjukkan prestasi universiti dan kualiti pendidikan tinggi,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus MQA bersama PPT berstatus Swaakreditasi di Universiti Multimedia (MMU), hari ini.

Teks ucapan Zambry itu dibacakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr Azlinda Azman dalam program yang julung kali diadakan dengan kerjasama MMU itu.

Program itu dihadiri 19 PPT melibatkan lapan universiti awam, tujuh universiti swasta dan empat universiti cawangan.

Sementara itu, Zambry memberitahu, penyertaan program ‘Certified Quality Assurance Officer’ (CQA) perlu menjadi kriteria utama bagi kakitangan ditempatkan di Pusat Jaminan Kualiti Universiti.

Laporan dapatan audit MQA merekodkan satu PPT mendapat skor 90, tujuh PPT mendapat 80, enam PPT mendapat 70, dua PPT mendapat 60 dan dua PPT mendapat 50.

“Status prestij ini perlu dinaiktaraf setanding standard program yang berkualiti tinggi untuk mengelakkan sebarang keraguan mengenai kualiti program yang ditawarkan oleh PPT berstatus Swaakreditasi ini.

“Saya percaya sesi ini dapat menjadi platform untuk kita bertukar pandangan serta idea untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi bagi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara yang mampan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast