Dr Dzulkefly Ahmad ketika melayan tetamu pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan awal (pre-emptive) terhadap rakyat asing yang menjalankan aktiviti perniagaan makanan secara haram.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak berkenaan seharusnya kerap menjalankan tinjauan di lapangan selain bertindak secara taktikal bagi mengekang penjualan makanan yang tidak mementingkan aspek kebersihan hingga boleh menjejaskan kesihatan.

“Kita kena tahu modus operandi, cara penjualan mereka. Kita kena lebih pre-emptive untuk membuat penguatkuasaan masa hadapan, berada di situ, memantau, buat tinjauan dan keputusan awal lagi supaya penguatkuasaan lebih cekap dan taktikal,” katanya ketika ditemui pada Rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung.

Beliau diminta mengulas video tular seorang peniaga warga asing yang menjaja makanan ala Mumbai pusat bandar Kuala Lumpur.

Video berdurasi 23 saat itu memaparkan warga asing menjaja jualan makanan ala makanan jalanan dari negara India.

Menerusi video tular, kelihatan penjaja warga asing itu menyediakan makanan tanpa menggunakan sarung tangan mahu pun senduk.

Malah tangan itu jugalah yang digunakan oleh mereka untuk membungkus makanan dan mengambil wang daripada pelanggan yang membuat pembayaran tanpa membasuh ia terlebih dahulu.

Dr Dzulkefly telah meminta tindakan segera dibuat sebaik sahaja video berkenaan tular di media sosial.

Bagaimanapun peniaga terbabit telah meninggalkan lokasi yang beroperasi berhampiran Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah pada setiap Jumaat.

“Ketika penguatkuasaan dilakukan mereka sudah tidak ada. Apa yang penting bagi saya beri kefahaman kepada rakyat dalam kita mahu memastikan kesihatan keselamatan makanan dan kualiti terjamin, jangan ambil makanan yang kita tidak tahu sumber punca penyediaan itu.

“Kerana kita tahu sama ada mereka telah disuntik dengan tifoid. Tak tahu keadaan mereka sediakan makanan. Kita tengah lapar, mujur lalu melintang patah tidak ada fikir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast