Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir bersama anaknya, Nooryana Najwa Najib (dua kanan).

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan wujudnya Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Anak Najib, Nooryana Najwa mendakwa tidak sewajarnya titah tambahan tersebut disorokkan daripada pengetahuan sama ada kepada bapanya mahu pun peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu.

“PMX kata pendirian ‘kerajaan’ selepas berbincang dengan Peguam Negara ialah titah itu tidak sah sebab ia tidak diputuskan dalam Lembaga Pengampunan. (titah addendum itu dikeluarkan oleh YDPA ke-16 selepas Lembaga Pengampunan selesai bermesyuarat).

“Persoalannya, kenapa main sorok- menyorok? Jika ada perintah tambahan sedemikian, mengapa Datuk Seri Najib atau peguamnya tidak diberikan perintah itu?

“Sehinggalah Datuk Seri Najib terpaksa ke mahkamah untuk mencari kebenaran. Dialah individu yang paling terkesan dalam kes ini,” tulis Nooryana Najwa di Instagram.

Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa keputusan berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada Najib mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Beliau mendakwa kenyataan itu sekaligus menepis kenyataan Perdana Menteri sebelum ini.

“Akhirnya, kebenaran pasti akan muncul. Mula-mula ‘tiada maklumat’, ‘enggan terlibat’. Petang tadi, PMX sahkan titah adendum itu wujud,” katanya.

Anwar hari ini erkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan berkenaan biar pun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.

“Saya sebutkan, ini menyinggung peranan Lembaga Pengampunan dan wewenang Agong. Itu jawapan bagi saya mengikut perbincangan dengan Peguam Negara dan maklumat dari Sultan dan Agong, itu sebaiknya.

“Kita tak cuba meringankan apa-apa keputusan yang dibuat hakim. Tapi cara kita lakukan itu yang tidak disenangi sesetengah pihak dałam parti sekutu atau sebaliknya, dalam kalangan yang lain di luar.

“Itu bukan kita persoalkan. Tapi pendirian kita tuntas, bahawa keputusan mesti dibuat dałam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan keputusan muktamad (oleh) Agong (mesti juga) dałam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” kata Anwar. -MalaysiaGazette