KUALA LUMPUR – Pengawal peribadi yang ditembak di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini sudah sedar di Hospital Cyberjaya.
Majikannya, Farah Cie yang juga isteri kepada suspek dalam kes yang sama bersyukur menerima khabar itu daripada keluarga mangsa.
“Syukur hari ini terima berita Along dah sedarkan diri. Terima kasih ya Allah!” tulisnya ringkas di media sosial malam ini.
Selain itu, Farah juga membayangkan akan berusaha
membuka tabung kecemasan untuk membantu keluarga mangsa.
Beliau juga telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga pengawal peribadinya itu baru-baru ini.
“Saya mewakili The Mahabbah menyampaikan sumbangan buat ahli keluarga Along (nama gelaran kepada pengawal peribadinya) dan mari kita berdoa agar kesihatannya kembali pulih semula. Amin,” katanya dalam media sosial malam ini.
Menurut Farah, Along merupakan pengawal peribadi utamanya itu merupakan individu yang sentiasa mengambil berat perihal keluarga.
Along, katanya, mempunyai tiga anak dan bakal menimang cahaya mata keempat.
“Along sangat ringan tulang dalam membantu isterinya. Anak sulung Along iaitu Adam adalah OKU (Orang Kelainan Upaya). Kebiasaannya Along yang akan mengangkat anaknya Adam untuk urusan bersihkan badan.
“Apabila Along sakit, isterinya tidak larat untuk mengangkat anaknya Adam yang kini sudah berumur 13 tahun. Apabila isteri Along ke hospital, emak isterinya yang akan menjaga anak-anak Along di rumah Along,” katanya.
Menurut Farah, ayah Along berpesan kepadanya jikaada jemaah atau sahabatnya yang ke Mekah, dia meminta tolong doakan Along di depan Kaabah.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Suspek kes tembak KLIA1 sambung reman di mahkamah Kota Bharu esok