Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin

KUALA LUMPUR – Saksi ke-49 pendakwaan prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin mengakui bekas Perdana Menteri itu tidak senang dengan jumlah wang besar yang masuk ke dalam akaun peribadinya.

Menurutnya, Najib ketika siasatan SPRM ada menyatakan rasa  itu kepadanya dan tidak mahu ‘cara-cara’ digunakan oleh bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini dalam perkara berkaitan dana politik.

Jawapan itu juga menyebabkan peguam utama yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang sedang menyoal balas Nur Aida bertanya sama ada beliau sedar Najib tidak pula menyorokkan dana besar di luar negara seperti pimpinan kerajaan lain.

“Ramai juga nama besar mengambil dana 1MDB dan meletakkan wang itu di luar negara tetapi Najib tidak pula berbuat demikian, semua dana itu ada sahaja di sini.

“Ini juga bermakna beliau tidak sesekali berniat melakukan apa-apa yang salah,” cadang Muhammad Shafee dan saksi kemudian mengangguk tanda setuju.

Kata Muhammad Shafee lagi, Najib juga terbukti telah memulangkan dana derma Arab yang diterimanya sebanyak US$620 juta daripada jumlah US$680 juta diterimanya.

“Najib mendedahkan beliau telah memulangkan dana itu bagi mengelak sebarang tohmahan,” kata Nur Aida.

Soal Muhammad Shafee lagi, hanya yang berniat mahu mencuri dana itu tidak akan memulangkan wang itu dan saksi bersetuju dengan cadangan itu.

Najib sebelum ini mendakwa wang dalam akaunnya adalah derma daripada Arab Saudi berikutan pertemuannya dan delegasi Malaysia bersama Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi di Riyadh dan pemimpin dari Timur Tengah.

Dalam pada itu, Nur Aida mendakwa Najib tidak pernah memberikan maklumat berkaitan pertemuan bersama Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah pada Januari 2010.

Kata Nur Aida, Najib tidak mendedahkan perkara itu apabila dipanggil SPRM untuk direkodkan kenyataan pada 2018.

“Tidak ada isu kerana kenyataan kepada SPRM juga Najib tidak menyebut mengenainya dan isu hanya timbul ketika perbicaraan SRC sahaja,” tegasnya.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah esok pagi. – MalaysiaGazette