Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa menggesa pihak-pihak terbabit supaya tidak menderhaka titah adendum.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja dalam memberikan pengampunan perlu dihormati.

“Pengalaman saya sebagai anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kami amat memahami dan menghormati kedudukan tersebut.

“Sekiranya benar adanya titah adendum itu, kerajaan tidak harus menderhakainya tanpa penjelasan yang meyakinkan,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu juga menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan keraguan dan mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja dalam memberi pengampunan.

Tegasnya, Lembaga Pengampunan diwujudkan untuk memberi nasihat dan pandangan namun Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja boleh memutuskan atau menitahkan perkenan baginda dalam mesyuarat atau selepas mesyuarat.

“Hak baginda tidak harus dipertikaikan. Sejak zaman berzaman Raja Raja Melayu mempunyai kuasa memberi pengampunan. Perlembagaan negara mengekalkan hak dan kuasa tersebut melalui perkara 42(1) dengan jelasnya,” kata Annuar.

Sebelum ini, Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong (ke-16.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani baki tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.-MalaysiaGazette