KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya mengadakan perbincangan dengan penghuni-penghuni rumah teres dan flat di Kampung Sungai Baru di sini terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat yang akan diadakan esok.
Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya ada mendapat makluman mengenai satu mesyuarat yang akan dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berhubung penyelarasan tanah di kampung berkenaan pukul 2.30 petang esok di Menara Sri Wilayah, Putrajaya.
Katanya, difahamkan mesyuarat itu melibatkan beberapa pihak termasuk Perbadanan Kampung Baru (PKB), Ahli Parlimen Tititwangsa (Datuk Seri Johari Ghani), Jabatan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian dan Persatuan Pemilik Kebajikan Tanah Kampung Sungai Baru.
“Kita berharap agar Menteri Wilayah Persekutuan dapat turun segera berjumpa dan berbincang dengan penduduk yang terlibat seperti yang beliau janjikan di Parlimen minggu lalu.
“Kerajaan Madani perlu memastikan satu penyelesaian yang adil, jumlah pampasan yang munasabah dan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kenadilan kepada penduduk serta pemilik tanah yang kesemuanya terdiri dalam kalangan orang Melayu.
“Dalam masa sama, pihak DBKL juga perlu memaklumkan kepada umum sama ada Perintah Pembangunan telah diluluskan ataupun belum untuk pembangunan yang dirancang di situ,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas mengenai persatuan Pemilik Kebajikan Tanah Kampung Sungai Baru yang turut dipanggil dalam mesyuarat berkenaan, Khalid mendakwa persatuan itu sebenarnya tidak mewakili keseluruhan penguhuni-penghuni yang terlibat dalam isu berkenaan.
“Saya nak maklumkan bahawa persatuan ini tidak mewakili semua pihak yang terlibat dengan tanah di Kampung Sungai Baru…mereka itu seolah-olah bersetuju dengan pengambilan tanah di kampung tersebut, mereka mewakili sebahagian besar penduduk yang setuju dengan projek yang hendak dibuat.
“Jadi, bagaimana dengan mereka yang tidak bersetuju dengan pengambilan tanah itu…mereka semua tidak diwakili oleh mana-mana pihak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Khalid berkata, perjumpaan dan perbincangan terlebih dahulu dengan penghuni-penghuni terbabit amatlah penting, agar segala penjelasan mengenai isu tersebut dapat dirungkai secara terang.
Katanya, ia juga bagi mengelak berlakunya informasi tidak tepat terutamanya dalam hal berkaitan pampasan.
“Kita berharap agar jumlah pampasan lebih adil dapat diberikan kepada penduduk terlibat berdasarkan hak-hak mereka yang dijamin di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara 1965 iaitu sebagai pemilik tanah yang berdaftar dan bergeran.
“Jumlah pampasan haruslah munasabah dan nilaian hartanah dibuat dengan mengambil kira harga pasaran semasa.
“Ini kerana lokasi kawasan terbabit adalah sangat startegik dan bernilai tinggi iaitu di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khalid mempersoalkan langkah kerajaan yang menyerahkan warta pengambilan tanah tersebut di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
Katanya, ia merupakan satu perkara yang agak menghairankan kerana rancangan pengambilan tanah terbabit bukanlah untuk pelaksanaan projek-projek kerajaan sebaliknya, pihak swasta.
Tambah beliau, pihaknya kesal dengan penggunaan Akta Pengambilan Tanah ke atas pemilik-pemilik tanah di Kampung Sungai Baru oleh kerajaan di bawah pentadbiran sebelum ini.
Jelasnya, kerajaan tidak sepatutnya membiarkan mereka dipermainkan dan menjadi alat kepada pihak pemaju untuk menguatkuasa akta tersebut bagi mengeluarkan penduduk dari kediaman masing-masing untuk melaksanakan projek yang bukannya atas dasar kepentingan awam.
“Amalan buruk seperti ini tidak harus diulangi lagi di masa akan datang dimana-mana tempat sekalipun.
“Kami akan terus komited memperjuangkan nasib dan menajga kepentingan penduduk dan emilik Kamung Sungai Baru khusunya dan seluruh penduduk di Kampung Baru amnya.
“Janganlah demi mengejar pembangunan di kampung tradisi Mdelayu ini, hak dan kepentingan serta kebajikan penduduk di situ diabaikan,” tambahnnya. – MalaysiaGazette