Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berucap merasmikan Pejabat Cawangan TH Kulai yang baharu.

KULAI – Tabung Haji (TH) Cawangan Kulai menyasarkan jumlah pendeposit yang lebih tinggi untuk tahun ini selepas pemindahan premis baharu ke Bandar Putra, Johor.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, pemindahan itu bertujuan untuk menaik taraf tahap perkhidmatan selain memberikan keselesaan kepada para pendeposit melakukan transaksi serta urusan haji dengan selesa dan kondusif.

“Cawangan ini mempunyai keluasan hampir dua kali ganda dan mempunyai ruang parkir yang lebih banyak berbanding premis sebelum ini.

“Ia juga terletak di kawasan yang pesat berkembang dengan sokongan pembangunan perindustrian.

“Pembukaan pejabat baharu ini diharapkan dapat membantu meningkatkan jumlah pendeposit TH di kalangan umat Islam di Johor,” katanya dalam majlis perasmian cawangan itu hari ini.

TH turut memperkenalkan pelbagai kemudahan di mana pendeposit yang membuat transaksi tidak akan dikenakan sebarang caj di mesin ATM atau CDM institusi perbankan seperti BIMB, Bank Rakyat dan Maybank berhampiran.

“Pendeposit TH juga boleh menggunakan kemudahan perbankan internet di BIMB, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB berhampiran melalui perkhidmatan atas talian TH – THiJARI.

“TH mempunyai 107 buah cawangan di seluruh negara dan 10 daripadanya berada di Johor. Johor juga merupakan antara negeri yang mempunyai bilangan pendeposit yang tinggi dengan mencatatkan sejumlah 1.15 juta orang dan 57, 000 daripadanya merupakan penduduk sekitar Kulai,” tambah beliau lagi. – MalaysiaGazette