KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan UPM bagi menangani isu-isu berkaitan sumber makanan negara.
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, dokumen itu akan mengandungi banyak khazanah yang menunjukkan keupayaan dan kehebatan UPM dalam menangani isu keterjaminan makanan.
“Dokumen itu juga menunjukkan peluang-peluang yang boleh direbut oleh penyelidik di UPM sendiri untuk terus membantu dalam keterjaminan makanan.
“Saya juga berharap inisiatif ini dapat dijadikan sebagai garis panduan dan rujukan bukan sahaja kepada akademia tetapi juga institusi pengajian tinggi (IPT), politeknik dan pelbagai peringkat dalam membantu isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Promosi UPM Bersama Media di UPM Serdang, baru-baru ini.
Tambah Ahmad Farhan, kesihatan juga termasuk dalam isu keterjaminan makanan.
Beliau yakin setelah pelan tindakan ini diterbitkan, rentak dan aksi warga UPM dalam usaha ini akan berlipat kali ganda bukan sahaja dari segi bilangan tetapi juga dari segi impak.
“Saya mengharapkan dengan usaha ini, UPM akan sinonim dengan isu keterjaminan makanan dan dapat membantu negara dalam usaha menangani isu ini,” katanya.
Katanya, peranan media banyak memberi impak positif dalam menyampaikan maklumat berkaitan UPM dan memberi banyak visibiliti UPM kepada masyarakat dan pihak berkepentingan. – MalaysiaGazette