MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melancarkan ikon baharu yang dapat menyerlahkan lagi keterampilan pelajar universiti bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr Massila Kamalrudin, pihaknya telah memilih nama srikandi yang hebat iaitu Tun Teja sebagai ikon TEJA.
“Pemilihan TEJA bukanlah atas dasar sejarah sahaja tetapi ia juga dipilih atas dasar semangat selain akronim TEJA itu sendiri selari dengan TUAH.
“Akronim TEJA membawa maksud Tangkas, Elegan, Jagat dan Adaptif yang dikhususkan untuk keunggulan peribadi mahasiswi manakala TUAH untuk mahasiswa,” ujarnya dalam ucapan sewaktu majlis pelancaran ikon TEJA di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM baru-baru ini.
Sebelum ini, UTeM pada 8 Mac lalu telah memperkenalkan ikon dan atribut TUAH yang bermaksud Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik selaras dengan representasi mahasiswa yang ingin dilahirkan pihak universiti.
Inisiatif itu seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat, Pendidikan Berkualiti, yang berkait rapat dengan usaha menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua.
“Usaha murni ini telah digerakkan dengan jayanya oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor HEPA UTeM, Prof. Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, mereka bertanggungjawab untuk terus komited memerkasa para pelajar universiti secara berterusan.
“Kami akan menerapkan nilai-nilai ini dalam keseluruhan komuniti pelajar UTeM, dan membantu pelajar mengasah bakat mereka sehingga dapat melahirkan golongan pelajar yang cemerlang, seimbang dan holistik,” katanya.
Majlis pelancaran ikon TEJA tersebut telah disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr Zulkifilie Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor dan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr Ghazali Omar. – MalaysiaGazette