Salah sebuah helikopter yang terhempas ketika sesi latihan di Lumut Perak, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 kru Tentera Laut Diraja Malaysia yang berada dalam dua helikopter yang bertembung di Lumut, Perak pagi tadi disahkan terkorban.

Markas TLDM dalam kenyataannya berkata, tragedi itu melibatkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM.

Kedua-duanya telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.

Insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

Anggota bomba membawa salah satu jasad anggota TLDM yang terkorban.

Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.

Menurutnya, TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Dalam masa sama, TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan. – MalaysiaGazette