Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara saman sivil SRC ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Peguam bela yang mengetuai perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib adalah salah dan tidak berasas.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya akan berhabis-habisan menyangkal kesahihan dakwaan dan tuduhan pada akhir prosiding ini.

Beliau berkata, pasukannya akan membuat rumusan dengan fakta bahawa kes itu telah dilakukan dengan salah dan tidak berasas dengan kebanyakan fakta dalam pertuduhan jenayah itu cacat.

“Kebanyakan lebih kepada duplicity dan multiplicity sahaja. Tuduhan cacat dan salah,” katanya.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Terma duplicity bermaksud dua atau lebih kesalahan disebut dalam satu pertuduhan, larangan undang-undang ialah memperkenalkan lebih satu kesalahan dalam satu pertuduhan.

Multiplicity pula merujuk kepada kesalahan didakwa lebih daripada satu pertuduhan yang juga ada undang-undang larangan bagi pertuduhan berganda.

Bekas Perdana menteri itu berdepan tuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah esok. -MalaysiaGazette