Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi pra syarat untuk sebarang kelulusan permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyifatkan kerjasama antara PERKESO dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tepat kerana penggiat seni berdepan pelbagai risiko.

“Caruman dan pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menjadi penampan terbaik terhadap sebarang risiko dalam bidang layar perak yang menyumbang sekitar RM28.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara PERKESO bersama Kementerian Komunikasi menerusi FINAS, ia melindungi semua penggiat di bawah industri kesenian terutama perfileman untuk mendapatkan perlindungan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman MoU antara PERKESO dan FINAS di sini hari ini.

Selain penggiat seni di bawah industri perfileman, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi PERKESO juga berharap penggiat seni yang lain seperti stringer, penerbit rancangan, penyanyi dan pempengaruh untuk turut mencarum.

Setakat 12 April lalu, seramai 3,120 individu daripada sektor kesenian di negara ini merupakan pencarum aktif SKSPS.

Dalam pada itu, Steven turut mengumumkan inisiatif baharu di bawah SKSPS iaitu Bantuan Khairat Kematian (BKK) berjumlah RM1,000.

Ia untuk menampung kos pengebumian pencarum SKSPS berkuat kuasa 1 Mac lalu bagi kematian yang berlaku sepanjang tahun ini meliputi 20 sektor bawah skim berkenaan.

Katanya, ia disalur kepada Orang Tanggungan atau waris Orang Berinsurans yang meninggal dunia tanpa kaitan dengan pekerjaan namun merupakan pencarum aktif serta memiliki minimum 12 bulan caruman pada masa kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast