PETALING JAYA – Filem Oppa yang bakal menemui penonton di pawagam pada 9 Mei ini mampu menjadi medium yang membawa mesej kepada rakyat khususnya wanita supaya berwaspada daripada penipuan dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berpuas hati dengan mesej filem itu yang ditonton di pawagam menerusi tayangan perdana di pawagam Uptown Damansara hari ini.
Menurutnya, jalan cerita dalam filem itu hasil kolaborasi JSJK dengan Dream Dilem Sdn. Bhd sangat selari dengan keadaan semasa jenayah penipuan komersial dalam pelbagai bentuk yang berlaku di negara ini.
“Kalau kita sedia maklum kita sering dilaporkan dengan kes-kes dalam konteks love scam atau penipuan pelaburan cinta di sesetengah negara lain dan itu yang dipaparkan dalam filem Oppa yang berkisarkan kisah benar yang terjadi.
“Maka saya yakin ketika kita sedang bercakap tentang isu jenayah penipuan dalam talian ini, pasti ramai lagi rakyat luar sana menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tayangan perdana itu petang tadi.
Jelas Ramli, PDRM sebelum ini pernah melaksanakan pelbagai inisiatif pencegahan dengan memperkenalkan beberapa kelainan dalam pencegahan penipuan dalam talian antaranya advokasi, kempen kesedaran dan sebagainya.
Terkini pihaknya melancarkan lagu bertajuk Anti Scam – Be Smart Stay Alert serta berkolaborasi dengan Whoscall, pengendali perkhidmatan pengenalan nombor telefon.
Ramli berkata, filem Oppa menyampaikan mesej yang menyasarkan golongan wanita yang berisiko tinggi dan sering menjadi mangsa penipuan berasaskan kisah benar.
Beliau juga memetik laporan seorang profesor terkemuka dari University of Texas di Amerika Syarikat bahawa penipuan love scam seluruh dunia telah mengakibatkan kerugian bernilai AS$75 bilion dolar dan tumpuan kebanyakan di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
“Banyak juga penerbit bertanya kami untuk menerbitkan filem-filem berkisarkan jenayah scam seperti ini dan saya yakin filem seperti ini dapat tempat dalam kalangan masyarakat di masa depan.
“Kemungkinan akan ada sekuel dia tetapi akan ada kaedah lain, penipuan pelaburan seumpamanya dan kita ada rescue mission iaitu satu lagi tajuk filem yang sedang dalam pembikinan produksi,” ujarnya.
Oppa ini adalah kisah seorang guru bernama Tien bercinta dengan seorang jejaka Korea bernama Oppa dan pada satu malam, Tien terdengar perbualan Oppa yang memaklumkan ibunya sakit tenat dan perlu pulang ke Korea Selatan segera.
Tien yang percaya dengan alasannya memberikan sejumlah wang banyak memudahkan Oppa pulang dan menguruskan ibunya manakala Oppa pada masa sama berjanji akan mengahwini Tien (guru) sejurus ibunya kembali sihat.
Malangnya, sejak itu Tien langsung tidak menerima sebarang perkhabaran daripada kekasihnya Oppa sehingga mencetuskan kerisauan dan menjejaskan pembelajarannya di sekolah.
Selepas itu pengawal keselamatan di sekolah Tien terjumpa poster yang banyak di kaki lima sekolah memaparkan nama dan wajah Tien dengan dakwaan guru itu seorang penipu besar dan enggan membayar semula wang pinjaman dari ahlong yang kemudian mengakibatkan dia tertekan kerana kekasihnya menghilangkan diri.- MalaysiaGazette