Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zamry Abdul Kadir bercakap pada media selepas lawatan kerja ke Limkokwing University, Cyberjaya. Foto SYADILA AMARI, 23 APRIL 2024.

SEPANG – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia membawa pulang pelajar Malaysia di Iran jika konflik negara itu dengan Israel semakin teruk.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, segala keputusan mengenai isu itu tertakluk kepada perbincangan dengan Wisma Putra.

“Saya telah pun memaklumkan kepada pejabat Education Malaysia (EM) di seluruh kawasan konflik itu untuk buat persiapan.

“Dalam masa sama kita juga bekerjasama dengan Wisma Putra. Sekiranya ada keperluan berbuat demikian, maka mereka akan maklumkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di Limkokwing University, Cyberjaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu EM juga sudah bersedia dengan sebarang situasi kerana pejabat itu berada di lokasi berhampiran.

“EM kita memang sentiasa pantau dan ada di kawasan berdekatan dengan konflik. Sebagai contoh di kawasan Iran dan Israel, kita ada EM di Jordan yang akan memantau keadaan untuk sebarang tindakan susulan kita,” ujarnya.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin memaklumkan, pihaknya bergantung kepada maklumat Wisma Putra dalam menentukan peranan yang perlu diambil oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia membawa pulang rakyat Malaysia di Iran jika perkembangan konflik antara negara itu dan Israel makin membimbangkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast