Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor menunjukkan hasil barang rampasan dadah bernilai RM384,050 dalam serbuan yang dijalankan pada Ahad lalu.

KUANTAN – Helah seorang cucu menjadikan rumah neneknya sebagai pusat penyimpanan dadah terbongkar apabila kediaman tersebut di di Kampung Paya Datu, Manir, Kuala Terengganu diserbu polis pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, serbuan pada jam 10.30 pagi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 20an.

Menurut Azli, dalam serbuan tersebut polis menjumpai kira-kira 38,000 biji pil kuda benilai RM380,000 dan 33.12 gram heroin bernilai RM4,050.

“Bekalan pil kuda dan heroin tersebut dijumpai di dalam sebuah beg di dalam rumah tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15Z bernilai RM12,000 dan wang tunai RM240 yang disyaki hasil kegiatan dadah

Jelasnya, suspek turut mengambil upah RM2,000 sebulan oleh pengedar untuk menyimpan bekalan dadah terbabit.

Azli berkata, siasatan mendapati dadah berkenaan baru diperolehi dari negara jiran sebelum disimpan suspek.

Katanya, polis telah mengenalpasti beberapa individu sebagai pengedar dadah yang mengupah suspek.

Tambah beliau, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau telah ditahan reman selama tujuh hari hingga 28 April ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette