KUANTAN – Seorang pembantu kedai jualan komputer mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memperdaya, melakukan ugutan jenayah dan memiliki imej lucah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini.
Tertuduh, Loh Yin Teng, 29, kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di dua kamar mahkamah berasingan.
Dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Nurshuzianna Shakila Raja Mamat dan Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Menurut fakta kertas pertuduhan, Yin Teng didakwa memperdayakan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 8 hingga 13 April 2024 dalam urusan mendapatkan iPhone 11 dan mendorong remaja itu untuk menyerahkan wang dengan cara memasukkan ke dalam lapan akaun yang berbeza sebanyak 12 kali transaksi berjumlah RM2,280.
Dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara selama tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda.
Tertuduh kemudian didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang remaja yang sama dengan ugutan untuk membawa ah long dengan niat hendak menyebabkan ketakutan bagi mendapatkan wang pada kejadian 14 April 2024.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, pada 15 April 2024, Yin Teng didakwa memiliki imej lucah remaja perempuan yang sama di dalam sebuah telefon bimbit dan komputer miliknya di mana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh penjara selama tеmрон yang boleh sampai 3 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua- duanya.
Selain itu tertuduh didakwa memperdaya seorang wanita berusia 23 tahun dalam urusan produk penapisan air sehingga mangsa menyerahkan tujuh kali transaksi wang sejumlah RM1,435 ke dalam enam akaun berrbeza kepada tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh di hukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan penjara selama tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda.
Mahkamah kemudian memutuskan wang jaminan berjumlah RM15,000 bagi kempat-empat pertuduhan dan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengacau ganggu mangsa dan saksi.
Hakim menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 Mei depan. – MalaysiaGazette