SEPANG – Kestabilan politik di negara ini menjadi salah satu punca ramai pelajar antarabangsa berminat untuk menyambung pengajian di Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kebanyakan mereka yang berminat adalah dari Iran dan Libya.
“Kita terima permintaan tinggi terutama negara-negara yang baru keluar dari perang seperti Iraq dan Libya. Mereka mahu melahirkan tenaga pakar sendiri bagi kembali memulihkan negara mereka.
“Kedudukan negara kita yang strategik, sistem pendidikan serta kemudahan belajar yang baik menjadi punca tarikan. Mereka lihat negara ini aman dan stabil sebab itu pentingnya kita bina negara yang stabil,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, pada tahun ini pihaknya menyasarkan tambahan lebih 100,000 pelajar asing dapat menyambung pengajian di negara ini berbanding jumlah sebelum ini hampir 200,000.
Dalam pada itu, kementeriannya kini dalam perancangan merangka Dasar Pendidikan Tinggi Nasional yang baharu untuk tempoh 10 tahun memandangkan kerangka lama akan berakhir tahun depan.
“Kita rancang dasar itu akan lebih menyeluruh dengan menekankan kepesatan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang.
“Malah bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi perhatian kita kerana ia semakin meluas, bukan terhad terhadap istilah vokasional yang diamalkan semata-mata kerana dunia hari ini makin berkembang,” ujarnya.
Beliau menambah, kementeriannya melihat kemajuan pendidikan itu juga harus selari dengan falsafah manusiawi agar ia seimbang dalam melahirkan modal insan cemerlang. – MalaysiaGazette