RAWANG – Sunyi dan tidak berpenghuni.
Begitulah suasana dari luar rumah salah seorang mangsa nahas udara helikopter TLDM di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini hari ini.
Menurut jiran yang enggan dikenali, rumah tersebut merupakan rumah persinggahan Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Wan Zainal Abidin buat ahli keluarganya datang sesekali memandangkan beliau tinggal di Sabah.
Tambah individu itu lagi, dia berjiran dengan arwah sejak 2005 namun pegawai TLDM tidak menetap di situ.
Sementara itu, usaha pengamal media untuk mendapatkan ulasan bapa Wan Rezaudeen Kamal tidak berjaya kerana beliau memaklumkan sedang berada di hospital di Perak.
“Saya berada di hospital,” kata Wan Wan Zainal Abidin sambil terus menutup perbualan di talian telefon.
Sementara itu, Wan Rezaudeen Kamal antara antara 10 yang terkorban dalam nahas udara membabitkan dua helikopter Skuadron Helikopter TLDM di Lumut, Perak hari ini.
TLDM mengesahkan 10 orang itu terdiri daripada masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM) dan tiga kru Fennec.
TLDM berkata, pengurusan jenazah semua mangsa yang terkorban akan dilaksanakan dalam masa terdekat mengikut tradisi pasukan itu.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sidang medianya memberitahu semua mangsa yang terbabit dalam nahas itu berusia 40 tahun ke bawah. – MalaysiaGazette