Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelantikan pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya yang turut terdiri ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah menjanjikan bahawa pelantikan bagi jawatan utama seperti pengerusi SPR akan melalui Jawatankuasa Parlimen.

Gesaan itu dibuat menjelang persaraan wajib Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh bulan depan serta kekosongan satu kerusi untuk anggota.

“Bersih mengulangi gesaan kami supaya Perdana Menteri untuk segera melaksanakan reformasi proses pelantikan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Bersih ingin menegaskan bahawa reformasi pelantikan ini adalah mustahak, tambahan lagi pengerusi SPR seterusnya berkemungkinan besar akan mempunyai tanggungjawab mengkaji dan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, anggota SPR perlu dilantik melalui mekanisme yang telus, terbuka, berakauntabiliti dan inklusif bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan dan kemandirian SPR.

Ini kerana suruhanjaya itu mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk melaksanakan pilihan raya dan persempadanan semula.

Tegasnya, perdana menteri dan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masa yang lama kerana jawatan pengerusi SPR akan dikosongkan bulan hadapan dan mekanisme pelantikan yang lebih telus perlu dibuat segera.

Pada Disember tahun lalu seorang Ahli Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong mencadangkan kerajaan melantik bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan untuk menerajui SPR.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ambiga harus menggantikan Abdul Ghani yang akan bersara Mei depan.

“Kita maklum pengerusi akan bersara beberapa bulan lagi tahun depan Mei. Bagaimana kerajaan perpaduan akan melantik pengerusi SPR yang baru adakah mereka akan melalui PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) atau kita boleh mencadangkan nama?

“Sebab sebagai pengerusi itu adalah satu tugas yang memainkan peranan yang penting dalam usaha kita nak reformasi pilihan raya negara.

“Di sini saya cadangkan kerajaan perpaduan boleh mempertimbangkan Ambiga sebagai pengerusi SPR yang baru yang akan datang apabila pengerusi sedia ada bersara,” katanya.

Sementara itu pada Januari lalu, Abdul Ghani berkata, SPR tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah, berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.

Bagi Sarawak, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut.

Beliau berkata, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast