Yui Hui ditemui wakil media selepas Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak permohonan 186 pekebun berhubung semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang hari ini.

KUANTAN – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan 186 pekebun durian Musang King terhadap semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang hari ini masih boleh dirayu.

Namun kesemua plaintif belum dapat memutuskan perkara itu sekarang kerana ia perlu diputuskan oleh oleh Pekebun Durian Musang King Raub terlebih dahulu.

Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA), Chow Yu Hui berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bagi menentukan tindakan selanjutnya dan menghormati keputusan yang diputusakan dalam penghakiman Datuk Mohd Radzi Harun hari ini.

”Kami  berbincang dengan pekebun yang terlibat sama ada hendak buat rayuan atau tidak? Kalau mereka semua pekebun setuju, kita akan failkan rayuan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Raub berkata demikian ketika ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yu Hui berpendapat sepatutnya kerajaan negeri memberi pajakan tanah durian kepada semua pekebun kerana mereka adalah orang tempatan dan mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri memberi pajakan tanah kepada sebuah syarikat besar.

Menurutnya, syarikat yang dipilih yang tidak mempunyai pengalaman dalam aktiviti penanaman durian berbanding pekebun tempatan yang didakwanya telah mengharumkan nama Musang King di persada dunia.

“Pekebun di Raub di Kampung Sungai Chalit, Sungai Ruan dan beberapa kampung lagi, mereka adalah  penduduk tempatan. Walaupun tidak  memiliki tanah  tetapi  mereka berhak mendapat pajakan tanah,” katanya.

Terdahulu pada 2020, pekebun durian terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berkaitan notis pengosongan tanah yang telah ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Hari ini mahkamah juga menolak  semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat mewakili Royal Pahang Durian Resources (PKPP).

Selain itu, mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM600,000 kepada kepada kesemua responden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast