Sekitar suasana Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program 2024 di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2024 akan meneliti projek penyelidikan dan isu dalam industri sawit Malaysia bagi memastikan ia akan terus mencatat pertumbuhan pesat ke arah masa depan industri yang lebih mampan.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, agensi itu komited untuk menangani isu-isu industri dengan berkesan di samping memperhebat usaha penyelidikan dan pembangunan.

“MPOB telah melaksanakan kerangka penyelidikan yang dibangunkan khusus untuk memacu hala tuju industri sawit negara melalui penyelidikan genetik, pembangunan mampan, teknologi pemprosesan dan mekanisasi, pembangunan produk tambah nilai, serta teknologi digital,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2024 di sini.

Menurutnya, hala tuju penyelidikan MPOB ini diselarikan dengan lima teras dasar yang digariskan dalam Dasar Agrokomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).

Ahli PAC terdiri daripada saintis, penggiat sendiri serta pakar terkemuka dari dalam dan luar negara yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti serta merencana idea serta formula terbaik dalam pembangunan serta penyelidikan untuk industri sawit.

Penyelidikan teknologi genetik terkini dan teknik pertanian pintar akan memacu penanaman sawit yang bukan sahaja tahan terhadap penyakit dan perubahan iklim, tetapi juga mengoptimumkan penggunaan nutrien dan air.

Langkah ini sangat penting untuk pengeluaran dan kualiti minyak yang efisien, serta memastikan kemampanan alam sekitar dalam jangka panjang.

Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital telah mencetuskan lonjakan dalam perkembangan serta adaptasi teknologi dan digital dalam kegunaan harian dan industri.

Krisis ekonomi global turut mendorong pelbagai industri merebut peluang untuk mengoptimumkan kos penghasilan, antaranya melalui adaptasi teknologi ke dalam operasi harian.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, dalam taklimat penyelidikan MPOB berkata, ahli PAC meneliti serta membincangkan pelbagai inisiatif kaedah-kaedah baharu untuk peningkatan bahan tanaman dan pengurusan kebun yang cekap sebagai strategi utama untuk memastikan peningkatan hasil yang signifikan.

Dalam ekosistem dan ketidakstabilan global hari ini, industri sawit berpotensi menjana pendapatan yang lumayan dengan penggunaan teknologi moden dalam operasi ladang, pemprosesan, serta bahan tanaman berdaya saing tinggi yang dihasilkan oleh
penyelidikan MPOB.

Mesyuarat PAC merupakan platform khusus MPOB untuk memupuk idea inovasi dan baharu, serta memperkemas strategi penyelidikan MPOB untuk memenuhi keperluan industri sawit dengan memanfaatkan peluang serta keperluan global. – MalaysiaGazette