Van jenazah berada di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh Perak bagi membawa jenazah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu.

KUALA LUMPUR – Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa insiden helikopter terhempas yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah selesai pada jam 2.20 petang.

Menurut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), jenazah mangsa beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah.

Katanya, jenazah Mendiang Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan
akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan pada esok, 25 April 2024.

Tambahnya, jenazah mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak untuk disemadikan dengan menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing tentang kejadian ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, TLDM akan terus memberi sokongan daripada segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin.

Katanya, penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris. – MalaysiaGazette