Gambar hiasan

BAITULMAQDIS – Tentera Israel dilaporkan sedang membuat persiapan untuk melancarkan operasi ketenteraan darat di bandar Rafah.

Menurut laporan media Isreal, KAN, operasi itu termasuk ‘memindahkan sejumlah besar penduduk’ ke kawasan lain.

“Menurut rancangan tentera, lebih 1 juta rakyat Palestin di Rafah akan diminta mengosongkan kawasan itu ke pusat perlindungan yang baru ditubuhkan di bahagian selatan dan tengah Semenanjung Gaza,” kata wartawan penyiar, Itay Blumental.

Blumental menyatakan bahawa mengikut rancangan yang dibentangkan kepada AS dan negara yang tidak dinamakan di rantau Israel, serangan tentera ke Rafah ‘akan diteruskan secara berperingkat’ dan melibatkan pembahagian bandar itu kepada zon.

Menurutnya, penduduk di setiap kawasan akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum mana-mana tentera Israel bergerak masuk, membolehkan mereka dipindahkan secara berperingkat.

Pegawai tentera Israel menganggarkan pemindahan penduduk dari Rafah boleh mengambil masa antara empat hingga lima minggu, menurut sumber ketenteraan Israel.

Hampir 34,200 rakyat Palestin telah terbunuh sejak Israel melancarkan serangan pada 7 Oktober dan lebih 77,000 yang lain cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan keperluan yang teruk.

Perang yang kini memasuki hari ke-200, telah menyebabkan 85% penduduk Gaza ke dalam perpindahan dalaman di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60% daripada infrastruktur telah rosak atau musnah.-Agensi