Gambar Hiasan

 

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan Geng Samun Putra dengan penahanan dua lelaki yang termasuk seorang warga asing yang terlibat dalam kes samun kedai runcit di Hulu Selangor dan Kuala Langat, petang semalam.

Tangkapan itu dibuat dalam dua serbuan di Kuala Kubu Bharu dan Telok Panglima Garang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, suspek warga tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing kedua-duanya didapati negatif dadah.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira, sebilah parang dan telefon bimbit.

Semua suspek ditahan reman hari ini sehingga 30 April 2024 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun di dua daerah ini,” kata Faizal. – MalaysiaGazette