KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan mengecualikan peniaga kecil dan perusahaan mikro daripada rejim e-invois yang akan menyusul.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, walaupun Samenta menyokong pelaksanaan e-invois untuk meningkatkan pematuhan cukai dan mengekang ekonomi bayangan, inisiatif e-invois tidak harus mengganggu operasi perniagaan.
Menurutnya, 76.7 peratus daripada semua perniagaan adalah perusahaan mikro, dengan hasil di bawah RM 300,000 setahun, termasuk perniagaan seperti kedai gunting rambut, penjaja makanan dan kedai runcit.
Jadi adalah sukar untuk perniagaan kecil untuk mengeluarkan e-invois memandangkan operasi mereka yang terhad.
“Contohnya, seorang makcik yang menjual laksa mungkin terpaksa berhenti memasak untuk mengeluarkan e-invois. Walaupun makcik tadi dapat belajar cara mengeluarkan e-invois, ianya tetap akan mengganggu dan melambatkan urusan perniagaan. Sesetengah peniaga kecil ini mungkin berhenti dan menutup perniagaan mereka,” katanya.
Oleh itu, Samenta mencadangkan bahawa mana-mana perusahaan yang bersifat B2C ataupun menjual terus kepada pengguna, dan dengan hasil di bawah RM 300,000 setahun, dikecualikan daripada mengeluarkan e-invois.
Perniagaan yang membeli darpada perusahaan mikro sedemikian harus dibenarkan mengeluarkan e-invois sendiri.
“Proses e-invois seperti yang dicadangkan agak rumit. Kami menghargai usaha Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melibatkan pihak industri dan profesional percukaian untuk menyeragamkan bilangan medan data yang diperlukan dalam e-invois. Namun, bilangan sebanyak 55 medan data seperti yang dicadangkan adalah terlalu banyak dan akan merumitkan kepatuhan oleh peniaga,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, memandangkan kelompok pertama e-invois akan dilaksanakan pada 1 Ogos 2024, kerajaan masih mempunyai masa untuk mengambil langkah untuk mengurangkan jumlah data yang diperlukan.
Tidak mungkin ada sistem yang kalis gagal, dan oleh itu, kerajaan perlu mengimbangi keperluan untuk ketepatan dan pendekatan praktikal, untuk mengurangkan insiden ketidakpatuhan dan gangguan kepada perniagaan.
Ng berkata, Samenta telah mengadakan tujuh siri seminar e-invois sejak Januari untuk ahlinya dan PKS lain, melibatkan lebih 3,000 PKS.
Kebimbangan dalam kalangan PKS adalah jelas, terutamanya mengenai ketidakpatuhan yang tidak disengajakan.
Oleh yang demikian, Samenta berharap kerajaan akan mengambil pendekatan ‘didik dan perbetul’ dan bukannya ‘saman dan denda’ dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan.
Menurut beliau, Samenta akan terus bekerjasama dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi kerajaan yang
berkaitan dalam menjadikan pengenalan e-invois semudah mungkin untuk perniagaan dan pengguna.
Bagaimanapun, kerajaan mestilah bertindak secepat mungkin bagi memastikan pelaksanaan e-invois tidak akan mengganggu perniagaan secara berlebihan.
“Setiap PKS mungkin menampung kos tambahan untuk pelaksanaan e-invois setinggi RM 200,000 pada tahun pertama dan RM 50,000 setiap tahun untuk tahun-tahun seterusnya bagi perundingan pelaksanaan, peningkatan sistem IT, latihan dan pekerja tambahan, tidak termasuk sebarang penalti dan denda untuk kesilapan dan kelewatan dalam pengumpulan data, pengeluaran e-invois dan penyerahan ‘consolidated’ e-invois.
“Memandangkan PKS bakal membantu negara membanteras ekonomi bayangan dan mencapai pematuhan cukai yang lebih tinggi melalui rejim e-invois, kita berharap pengorbanan kami ini akan dihargai dan dibalas oleh pihak kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette