KUALA LUMPUR – Sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei nanti ia membuktikan undi bukan Melayu terutama India sudah tidak menjadi deposit tetap kepada Pakatan Harapan.
Jelas Naib Presiden Gerakan, Datuk G. Parameswaran, jika gabungan pembangkang berjaya merampas kerusi tersebut, ia turut akan membuktikan kemungkinan besar DAP sudah hampir dengan ambang kemusnahan ekoran daripada ketidakpuasan rakyat terutamanya kaum India pada pentabdiran Kerajaan Madani hari ini.
“PRK KKB ujian potensi sokongan kaum India terhadap PN. Saya menjangkakan sokongan pengundi India terhadap kerajaan semakin merosot.
“Komuniti India cenderung kepada PN, sebahagiannya disebabkan kekecewaan mereka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menunaikan janjinya” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru itu, Parameswaran berkata, Gerakan akan berperanan untuk menarik undi 18 peratus masyarakat India di kawasan itu bagi memenangkan calon PN yang akan diumumkan malam ini.
“Saya mengajak pengundi India di KKB supaya memberi pengajaran kepada Kerajaan PH-BN hari ini kerana berjanji tidak ditepati terutamanya melibatkan hak dan keistimewaan kaum India,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Parameswaran berkata, peruntukan sebanyak RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menambah baik infrastruktur awam untuk kesejahteraan penduduk sekitar Hulu Selangor adalah sesuatu taktik kotor untuk meraih undi.
Jelasnya, langkah itu juga dilihat canggung kerana ia hampir dengan kempen pilihan raya yang akan diadakan selepas proses penamaan calon pada Sabtu depan.
“Ini sudah jelas mereka PH-BN ‘pengecut’. Bagaimanapun kali ini pengundi India adalah king maker dan saya yakin PN akan merampas kerusi KKB kali ini.
“Rakyat Kuala Kubu Baharu perlukan masa hadapan yang lebih baik, dan penyelesaian itu ada pada PN. Biarlah Kuala Kubu Baharu menjadi ‘kenangan pahit’ buat PH-BN,” katanya lagi.
Semalam, DAP mengumumkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao diumumkan sebagai calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu kelak.
Dalam pada itu, PN akan mengumumkan nama calonnya malam ini di Bandar Utama Batang Kali oleh pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – MalaysiaGazette