Saksi bagi perbicaraan 1MDB, Nur Aida Ariffin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 5 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-49 prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) mengaku dan bersetuju bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengarahkan mana-mana pegawai kanan daripada pengurusan 1MDB memindahkan dana AS$1.03 bilion kepada Good Star Ltd.

Syarikat Good Star Ltd adalah milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi itu, seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, adalah antara pegawai penyiasat kes 1MDB ketika itu bersetuju Najib tidak mengarahkan mana-mana pegawai seperti dakwaan sebelum ini.

Antara pegawai kanan itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB Radhi Mohamad, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee.

Ketika soal balas bersama peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhubung transaksi yang dilakukan di antara 2009 and 2011 berkaitan pemindahan dana tersebut kepada syarikat Good Star Ltd itu, Nur Aida bersetuju dengan cadangan Najib tidak terlibat dalam arahan itu.

Wan Azwan: Anda setuju pegawai-pegawai ini yang telah membenarkan pemindahan ke akaun Good Star?

Nur Aida: Ya benar. Ini berdasarkan dokumen-dokumen yang ada.

Wan Azwan: Anda setuju Najib tidak pernah mengarah mana-mana individu daripada pengurusan 1MDB  untuk memindahkan  AS$1.03 billion kepada Good Star?  

Nur Aida: Ya, saya setuju.

Untuk makluman dana AS$1.03 billion dipindahkan ke dalam akaun Good Star melalui dua transaksi dengan AS$700 juta dipindahkan pada September 2009 manakala AS$300 juta pada Mei 2011.

Namun Good Star telah menutup akaunnya di Coutts pada 4 September 2013 dan syarikat itu telah dibubarkan pada 2 Mei 2014.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara saman sivil SRC ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2024.

Semalam, Nur Aida memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Najib tidak mengarahkan pegawai kanan syarikat strategik itu menyembunyikan daripada Lembaga Pengarah transaksi pindahan dana AS$700 juta 1MDB kepada Good Star Limited.

Najib ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Prosiding akan bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. -MalaysiaGazette