KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia mendoakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah jantung.
“Mendoakan Tun Abdullah Ahmad Badawi diberikan afiyah secepat mungkin serta dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Abdullah, ataupun lebih dikenali sebagai Pak Lah dimasukkan ke IJN semalam akibat small spontaneous pneumothorax atau masalah paru-paru.
Perkara itu turut disahkan oleh menantunya, iaitu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui hantaran Instagram Story yang memaklumkan beliau kini berada di Unit Penjagaan Koronari (CCU) IJN.
“Beliau berada dalam keadaan baik namun masih di bawah pemantauan doktor dan memerlukan rehat yang secukupnya.
“Saya mewakili ahli keluarga amat menghargai segala doa dan kata-kata semangat yang dititipkan buat beliau tetapi kami dinasihati agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette