Universiti Malaya

KUALA LUMPUR – Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak atasan universitinya yang menjemput Profesor Politik dan Hal Ehwal Global Universiti Portland, Bruce Gilley yang juga terkenal sebagai pencinta rejim zionis.

Menurut kenyataannya, PBMUM menganggap perbuatan itu secara terang-terangan bercanggah dengan pendirian Malaysia yang telah memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin selama ini.

“Kami tidak melihat kehadiran Bruce dapat menambah nilai akademik di Malaysia. Malahan, pendiriannya yang secara terang lagi bersuluh cenderung kepada kezaliman zionis menggugat nuansa intelektual insani yang cuba dibangunkan di Malaysia.

“Bagi kami, pemikiran yang memeluk agenda dan penjajahan zionis adalah intelektual yang mati dan cetek sifatnya,” katanya.

Sebagai persatuan akademik, PBMUM menjulang tinggi kebebasan akademik namun tidak bermakna tidak perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat dan pendirian kerajaan Malaysia.

“Tindakan beliau yang memperlekehkan pendirian Malaysia dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam program berkenaan telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.

“Menurut Bruce, Malaysia tidak akan mampu bersaing dan bersama dengan Amerika Syarikat selama mana Kerajaan menunjukkan penentangan terhadap rejim zionis.

“Kami menggesa pihak pentadbiran UM tampil menjelaskan keadaan, membuat permohonan maaf serta memberi jaminan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi,” tambahnya lagi.

Terdahulu, pihak UM telah menerima kecaman hebat apabila professor jemputan itu telah menjadikan program anjuran UM sebagai platform menyebarkan dakyah zionis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast